Umum

Tidak boleh laksanakan kuasa pengampunan sewenang-wenangnya

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan sokongan terhadap titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkaitan dengan kuasa prerogatif pengampunan yang tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya demi kepentingan pihak tertentu.

Sultan Selangor menerusi kenyataan bertitah bahawa rakyat perlu memahami bahawa proses pengampunan perlu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan prosedur yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan dan undang-undang berkaitan dengannya. 

Menerusi titah berkenaan juga, baginda menyeru rakyat agar sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang dan kebebasan Badan Kehakiman (Judiciary) yang menjadi teras dan paksi kepada kedaulatan sistem demokrasi raja berperlembagaan yang diamalkan di negara ini. 

Titah baginda, Perlembagaan Persekutuan meletakkan martabat Institusi Kehakiman di satu tahap yang tinggi sebagai sebuah Badan Kehakiman yang bebas serta berwibawa dan ia benteng terakhir yang perlu dipertahankan bagi memastikan pentadbiran keadilan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. 

“Rakyat perlu mengambil maklum bahawa Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi adalah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat daripada Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja sebagaimana peruntukan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan. 

“Malah Perdana Menteri sebelum memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong berkaitan dengan lantikan seseorang Hakim hendaklah terlebih dahulu berunding dengan Ketua Hakim Negara dan perlu mendapat pengesyoran daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. 

“Proses lantikan seseorang hakim yang perlu melalui proses yang teliti. Ini menunjukkan Badan Kehakiman berbeza dengan institusi-institusi kerajaan yang lain dan menggambarkan betapa pentingnya peranan Badan Kehakiman dalam sistem pentadbiran negara,” titah baginda seperti dilaporkan Berita Harian.

Sultan Sharafuddin bertitah, kebebasan kehakiman membawa pengertian bahawa para hakim yang mengadili sesuatu kes dapat mentafsirkan undang-undang bersandarkan semata-mata kepada fakta dan keterangan tanpa rasa takut, pilih kasih dan bebas daripada sebarang pengaruh yang tidak diingini. 

Seorang Hakim telah mengangkat sumpah untuk mengamalkan kesamarataan, memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan serta bebas dari segala bentuk tekanan dalaman dan luaran. 

“Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahawa semua rakyat adalah sama rata di sisi undang-undang. Ini bermakna bahawa rakyat tidak mengira status, jawatan, bangsa dan keturunan adalah tertakluk dan bertanggungjawab kepada undang-undang yang sama. 

“Setiap rakyat di negara ini berkehendakkan keadilan, kesaksamaan serta ketelusan daripada Badan Kehakiman atas sesuatu kes yang diadili. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk sentiasa memelihara nama baik Badan Kehakiman agar ia tidak tercemar daripada sebarang bentuk pengaruh dan tekanan,” titah baginda. 

Dalam titah kenyataan itu, baginda turut mengingatkan pihak Eksekutif agar sentiasa mendukung penuh prinsip kebebasan kehakiman dan mengelak daripada sebarang cubaan untuk mempengaruhi proses pentadbiran keadilan Badan Kehakiman. 

Titah baginda, kebebasan Badan Kehakiman memerlukan sokongan, dokongan, kefahaman dan iltizam dari semua pihak terutama dari pihak Eksekutif. 

“Sehubungan dengan itu, beta menyeru semua pihak berganding bahu dengan mengambil langkah-langkah ke arah mempertahankan dan menjamin kebebasan Badan Kehakiman demi kesejahteraan dan kemakmuran negara. 

“Rakyat perlu memberi sepenuh kepercayaan kepada sistem kehakiman negara tanpa perlu melemparkan tohmahan yang tidak berasas tanpa mengetahui fakta dan alasan-alasan penghakiman terhadap sesuatu kes,” katanya.

Sumber: Satu Berita

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top