Umum

Tidak perlu tergesa-gesa adakan PRU, tumpu ekonomi dulu – Azmin

Tidak perlu tergesa-gesa untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana tumpuan pada ketika ini sepatutnya kepada program pemulihan ekonomi dan mencipta pekerjaan baharu untuk rakyat.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata masih ada masa yang panjang untuk mengadakan pilihan raya umum.

“Saya telah berikan pandangan, walaupun situasi ekonomi negara semakin baik dan pulih berdasarkan data dan statistik, namun saya mewakili kementerian yang bertanggungawab tentang pelaburan dan perdagangan, merasakan kita perlu sedikit masa lagi meyakinkan pelabur asing supaya dapat terus melabur di Malaysia dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

“Hanya dengan pelaburan baharu ini kita dapat mencipta pertumbuhan ekonomi yang mampan dan mencipta pekerjaan,” katanya kepada media selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Bersatu Selangor di sini hari ini.

Namun, Mohamed Azmin yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata jika PRU15 perlu diadakan segera, PN tetap bersedia menghadapinya.

Katanya parti komponen PN kini dalam proses melengkapkan rundingan pembahagian kerusi bagi persediaan untuk PRU15.

Mengulas kemungkinan ‘bekas majikan’ beliau Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Gombak, kawasan Parlimen yang diwakilinya ketika ini, Mohamed Azmin berkata berkata sesiapa sahaja boleh bertanding di kerusi parlimen berkenaan.

Mohamad Azmin berkata sama ada beliau kekal bertanding di Gombak atau tidak pada PRU15 nanti, ia tertakluk kepada keputusan parti.

Sebelum ini, Anwar mendedahkan hasratnya untuk bertanding dan merampas kerusi Parlimen yang disandang oleh ‘pengkhianat’ PKR dan Pakatan Harapan (PH).

— BERNAMA

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top