Travel

Tiga zon titik panas mantapkan SOP pelancongan Langkawi

LANGKAWI: Tiga zon titik panas pelancongan diperkenalkan di pulau ini bagi memantapkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha mengekang penularan COVID-19 menjelang pembukaan perintis gelembung pelancongan esok.

Zon Satu membabitkan Kuah-Ayer Hangat, manakala Ayer Hangat-Pantai Kok (Zon Dua) dan Padang Matsirat-Pantai Tengah (Zon Tiga).

Pemantauan di setiap zon itu akan dilakukan Pasukan Petugas Gelembung Pelancongan Langkawi (PPGPL) dianggotai 25 agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan berkanun diterajui Pegawai Daerah Langkawi, Saiful Anwar Azmi.

Saiful Anwar berkata, penubuhan PPGPL adalah sebahagian pendekatan untuk pencegahan awal dan pemantauan pematuhan SOP kepada pelancong, pengunjung dan pemilik premis bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

“Idea asal penubuhan PPGPL ini dicetuskan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika mengadakan lawatan dan tinjauan ke pulau ini baru-baru ini.

“Tujuannya bagi memastikan pembukaan Langkawi sebagai destinasi perintis gelembung pelancongan negara berjalan lancar, sekali gus menjadi contoh terbaik,” katanya di sini.

Bagi memantapkan tugas PPGPL, beliau berkata, enam jawatankuasa kecil membabitkan pandemik, keselamatan, kawalan pintu masuk, pelancongan, pengindahan bandar dan komuniti diwujudkan.

“Pada masa sama, sebuah bilik gerakan turut dibuka di Pejabat Daerah Langkawi bagi menyelaras dan menerima laporan daripada setiap jawatankuasa kecil yang selesai melakukan pemantauan di setiap zon terbabit,” katanya.

Langkawi dijangka menerima antara 1,500 dan 2,000 pelancong pada hari pertama pembukaan gelembung pelancongan menerusi lima penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAASS) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), selain tiga perjalanan feri penumpang dari Kuala Perlis.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top