Guru-guru yang enggan mengambil vaksin bakal berdepan tindakan yang akan diputuskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
Bagaimanapun, mereka masih dibenarkan datang ke sekolah namun akan ditempatkan di bilik berasingan dengan guru-guru yang sudah mendapatkan vaksin.
Menurut Menterinya Datuk Radzi Jidin, lebih 2,500 guru yang enggan divaksin.
“Ada tempat khas untuk mereka yang berbeza dengan guru-guru lain dan diasingkan. Kita juga sedang berbincang dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan juga pihak berkaitan apakah tindakan susulan (yang akan diambil) dalam konteks tatacara perkhidmatan awam terhadap guru-guru ini,” katanya ketika mengadakan sidang media bersama Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein di Kementerian Pertahanan pagi tadi.
Tambah beliau sesi persekolahan berperingkat akan tetap dimulakan pada 3 Oktober ini mengikut perancangan yang telah diumumkan sebelum ini.
Bagaimanapun jumlah guru yang enggan divaksin itu masih kecil berbanding jumlah keseluruhan guru di bawah KPM yang hampir mencecah 500,000 orang.
Justeru, KPM masih lagi diperingkat perbincangan bagi memperincikan atau menentukan bentuk tindakan sewajarnya kepada kelompok guru berkenaan.