Tokoh korporat dan veteran politik, Megat Najmuddin Megat Khas, meninggal dunia malam tadi akibat kanser pada usia 81 tahun.
Pemergian Allahyarham disahkan oleh ahli keluarga terdekat kepada Bernama. Jenazah akan dibawa ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail pada jam 9 pagi untuk urusan pengurusan dan solat jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
Berita kematian Megat Najmuddin turut dikongsikan oleh anak saudaranya, Puteri Kamaliah Megat Abu Bakar, menerusi hantaran di Facebook. Difahamkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sebuah pusat perubatan swasta di Petaling Jaya.
Allahyarham merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelana Jaya, Selangor selama dua penggal bermula 1986. Dalam arena politik, beliau juga pernah berkhidmat sebagai ahli Lembaga Disiplin UMNO serta Pengerusi Lembaga Tatatertib Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Selain politik, Megat Najmuddin turut dikenali sebagai tokoh korporat yang berpengalaman luas. Antara jawatan penting yang pernah disandang beliau termasuk Pengerusi Bukan Eksekutif Bebas Farm Fresh Berhad, Pengerusi Asian Pac Holdings Berhad, serta Pengerusi Bukan Eksekutif dan Bukan Bebas Sime Darby Plantation Berhad.
Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar kepada landskap politik dan korporat negara.
