Umum

Tolak isteri ke dalam gaung, lelaki direman 7 hari

Gambar Hiasan

Seorang lelaki yang disyaki menolak isterinya ke gaung di KM31.2 Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli pada bulan lalu telah direman selama 7 hari.

Sinar Harian melaporkan Majistret Savinder Singh membenarkan permohonan reman hingga Isnin depan itu terhadap suspek bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Peniaga 39 tahun itu ditahan di IPD Baling, Kedah pada Rabu lalu, sebelum direman enam hari untuk disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana disyaki mencederakan abang kandungnya.

Suspek ditahan semula oleh polis dari IPD Gerik selepas tempoh remannya berakhir semalam.

Media sebelum ini melaporkan suspek ditahan kerana disyaki memukul, mencekik dan menolak isterinya ke gaung selepas pertengkaran mulut pada 27 Julai lalu.

Ketua Polis Gerik, Zulkifli Mahmood dilaporkan berkata, siasatan mendapati suspek membawa mangsa dari ibu kota ke Perak kira-kira 5.30 petang 26 Julai lalu atas alasan mahu pulang ke kampung, tetapi berlaku pertengkaran mulut antara mereka sepanjang perjalanan.

Selepas ditolak ke gaung sedalam 10m, mangsa berusia 32 tahun berjaya merangkak ke bahu jalan sebelum dijumpai orang awam kira-kira 2 petang. Difahamkan, mangsa cedera di pinggang dan dirawat di Hospital Taiping.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top