Umum

Trip.com Group, GL Play Perkukuh Kerjasama Pacu Pelancongan Taman Tema Malaysia

Penyedia perkhidmatan perjalanan dan pelancongan global, Trip.com Group, memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama GL Play, cabang riadah dan hospitaliti milik Gamuda Land, bagi mengukuhkan kerjasama strategik dalam memacu pelancongan taman tema di Malaysia.

Kerjasama ini bertujuan meningkatkan permintaan pelancong serta memperkayakan pengalaman pengunjung di beberapa tarikan utama di bawah GL Play, termasuk SplashMania Waterpark, Paya Indah Discovery Wetlands, Discovery Park dan FunPark.

Melalui pakatan ini, capaian global dan serantau, ekosistem perjalanan digital serta keupayaan pemasaran berpandukan data Trip.com Group akan digabungkan dengan portfolio destinasi riadah GL Play yang memenangi pelbagai anugerah. Usaha ini dijangka dapat meningkatkan profil tarikan berkenaan dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa, khususnya di pasaran Asia.

Kedua-dua pihak turut bekerjasama rapat untuk menambah baik pengalaman pelanggan dari peringkat pembelian tiket hingga ke kemasukan ke taman tema, termasuk sokongan berbilang bahasa, pelbagai pilihan pembayaran serta penggunaan kios tiket layan diri Trip.com yang disediakan di pintu masuk taman.

Antara inisiatif yang dirancang termasuk penambahbaikan kemudahan kios bagi menawarkan pilihan tiket baharu seperti laluan keutamaan ke tarikan dan permainan tertentu, sekali gus membolehkan pengunjung memaksimumkan masa dan keseronokan mereka di taman tema.

MoU ini juga membuka ruang kepada pengintegrasian sistem yang lebih kukuh antara Trip.com Group dan GL Play, menandakan integrasi langsung sulung GL Play dengan agensi pelancongan dalam talian (OTA). Langkah ini dijangka memperkemaskan proses penjualan tiket, memperluas penawaran produk serta memudahkan tempahan untuk pelancong.

Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan Daya Tarikan & Pelancongan Antarabangsa Trip.com Group, Chase Liu, berkata peningkatan tumpuan terhadap tarikan pelancongan memainkan peranan penting dalam perancangan perjalanan pelancong.

“Berpandukan data kami, taman tema merupakan antara tarikan utama yang paling banyak ditempah oleh pelancong di seluruh dunia bagi suku pertama 2026. Menerusi kerjasama dengan GL Play, kami teruja untuk memudahkan pelancong di Asia dan sekitarnya merancang, meneroka dan menikmati tarikan unik Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Riadah & Hospitaliti Gamuda Land, Liong Ve Lyn, berkata kerjasama yang diperkukuh ini membolehkan pengalaman pengunjung ditawarkan secara lebih cekap, inovatif dan tersusun.

“Melalui kerjasama erat dengan Trip.com Group, kami menyasarkan untuk menarik lebih ramai pelawat tempatan dan antarabangsa, sambil memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi riadah bertaraf dunia,” katanya.

Kerjasama strategik ini turut selari dengan inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Selangor 2026, sekali gus menyokong usaha meningkatkan ketibaan pelancong serta mengetengahkan tarikan tempatan ke peringkat antarabangsa.

Sempena pakatan ini, pelanggan yang membeli tiket menerusi kios layan diri Trip.com di SplashMania akan menikmati diskaun tambahan 10 peratus di kedai cenderamata Maniacs Closet, serta potongan 15 peratus di FunPark, Paya Indah Discovery Wetlands dan Discovery Park. Promosi tempoh terhad ini berlangsung sehingga 31 Disember 2026.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top