Sebuah video tular di TikTok baru-baru ini menarik perhatian ramai apabila seorang pengguna mendakwa berlaku kesilapan dan kelewatan dalam pemberian bantuan lampin pakai buang oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Menurut dakwaan tersebut, keluarga asnaf terbabit sepatutnya menerima lampin jenis “pants”, namun yang diterima adalah jenis “tape”.
Video yang dimuat naik oleh akaun @aatvmedia.officials itu mencetuskan pelbagai reaksi netizen, yang rata-ratanya prihatin terhadap nasib golongan asnaf serta ketelusan dalam agihan bantuan zakat.
MAIWP Tampil Beri Penjelasan
Sebagai respons terhadap isu tersebut, MAIWP menegaskan bahawa pihak mereka sentiasa peka dan prihatin terhadap keperluan asnaf, sambil memegang teguh amanah pembayar zakat.
“MAIWP tidak memandang ringan isu seperti ini. Kami sentiasa berusaha memastikan bantuan diagihkan dengan penuh tanggungjawab, telus dan mengikut keperluan semasa,” ujar wakil MAIWP dalam satu kenyataan rasmi.
Pada tahun 2024, MAIWP telah menyalurkan sebanyak RM47.69 juta kepada 6,398 penerima asnaf di bawah Skim Bantuan Perubatan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Manakala bagi tahun 2025, jumlah ini meningkat kepada RM60.1 juta — merangkumi bantuan bulanan dan juga pemberian sekali (one-off), bergantung kepada dokumen sokongan perubatan daripada pakar bertauliah.
Isu Pembekalan & Ketelusan Tender
MAIWP turut menafikan dakwaan kewujudan kartel atau sebarang penyelewengan dalam proses pembekalan bantuan. Semua barangan dan peralatan bantuan, menurut mereka, diperolehi menerusi tender terbuka yang sah, dengan pelantikan pembekal mengikut zon yang ditetapkan bagi memastikan ketelusan dan keadilan.
Dalam kes yang tular ini, MAIWP memaklumkan akan membuat penilaian semula spesifikasi bantuan sekiranya terdapat keperluan khas yang disokong oleh laporan perubatan.
Bantuan Berterusan Sejak 2018
Menurut MAIWP, keluarga yang terlibat telah menerima pelbagai jenis bantuan sejak tahun 2018 termasuk:
• Bantuan kewangan bulanan
• Bantuan menyelesaikan hutang
• Bantuan khas kanak-kanak OKU
• Bantuan perubatan am
• Bantuan sewa rumah
• Bantuan perniagaan dan bimbingan keusahawanan
Terbuka Terima Aduan Untuk Penambahbaikan
MAIWP mengalu-alukan sebarang pandangan dan aduan daripada masyarakat sebagai satu usaha berterusan menambah baik sistem pemantauan bantuan zakat.
“Kami komited memastikan kebajikan asnaf sentiasa terjaga dan amanah pembayar zakat dilaksanakan sebaiknya,” jelas MAIWP.
