Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan bagi merintis kerjasama pada gerakan Proklamasi Orang Melayu.
Kedua-dua pemimpin berkenaan mengadakan pertemuan hampir dua jam di rumah Dr Mahathir, di sini, malam tadi.
Menurut Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, perjumpaan dua tokoh pemimpin itu bakal memberi semangat baharu dalam usaha memperkasakan serta menguatkan kedudukan orang Melayu ini.
“Kedua tokoh pemimpin Melayu ini sanggup ketepikan segala perbezaan fahaman politik lampau demi menjaminkan kelangsungan perjuangan untuk memperkasakan kedudukan anak bangsa di bumi bertuah ini.
“Sifat terpuji Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal menjadi satu sandaran baharu kepada keseluruhan orang-orang Melayu yang amat ‘dahagakan’ penyatuan atau perpaduan Melayu secara mutlak,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Pertemuan selama satu jam 45 minit itu, kata Khairuddin, merupakan satu manifestasi penyatuan Melayu secara total yang sedang diusahakan oleh Dr Mahathir demi memenuhi harapan serta impian keseluruhan orang-orang Melayu.
“Sesungguhnya, gerakan Proklamasi Orang Melayu secara ‘non partisan’ membuka pintu secara seluas-luasnya kepada mana-mana individu-individu Melayu yang bersemangat untuk bersatu-padu tanpa kira apa saja fahaman ideologi politik masing-masing.
“Sekretariat Proklamasi Orang Melayu akan mengembangkan satu daya-usaha untuk menyatupadukan keseluruhan umat melayu secara ‘total’ seterusnya mengenal-pasti segala polemik permasalahan dan memperkenalkan formula penyelesaian ke atas setiap masalah-masalah yang membelenggui kita selama ini,” jelas Khairuddin lagi.
Minggu lepas, media melaporkan, Dr Mahathir yang juga bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berhasrat menemui Muhyiddin untuk menjelaskan mengenai tujuan Proklamasi Orang Melayu.
“Ia (Proklamasi Orang Melayu) sokongan kepada Melayu secara menyeluruh kerana kita melihat mereka hilang kawalan sepenuhnya terhadap negara ini dan mereka akan terseksa jika tidak boleh berkata apa-apa untuk negara ini,” kata Dr Mahathir.
Sebelum itu, Dr Mahathir turut menyatakan kesediaan beliau untuk bekerjasama dengan Muhyiddin pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Dalam reaksi balas, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menyatakan kesediaan beliau sedia bekerjasama dengan Dr Mahathir demi matlamat memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam.
Katanya lagi, kesediaan itu juga didorong dengan perkembangan politik mutakhir ini yang meletakkan umat Melayu dan Islam di negara ini di persimpangan getir.
Sumber: Astro Awani