Buletin

UMNO Sabah yakin boleh rampas semula kerusi Parlimen Sepanggar

UMNO Sabah yakin mampu merampas semula kerusi Parlimen Sepanggar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Keyakinan itu disandarkan Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Datuk Yakub Khan berdasarkan situasi semasa rakyat yang kembali memilih Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah berkata, pengundi Sepanggar kini lebih cenderung kepada BN apabila dibuktikan dengan beberapa kajian khususnya di kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh Sepanggar.

“Kita bukan cakap besar tetapi ini merupakan realiti apabila pengundi muak dengan keadaan senario politik yang tidak stabil menyebabkan rakyat menderita.

“Rakyat inginkan kerajaan yang stabil disamping calon Ahli Parlimennya bersama-sama dalam kerajaan agar pembangunan akan dapat dinikmati rakyat khususnya di kawasan Parlimen Sepanggar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Taklimat dan Bengkel Persiapan Jentera PRU15 serta Majlis Berbuka Puasa Anjuran UMNO Bahagian Sepanggar di sini.

Selain itu, Yakub berkata, UMNO Sepanggar juga memberi skongan penuh kepada calon yang diputuskan pucuk pimpinan sekali gus memastikan kemenangan majoriti besar.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata, semua gerak kerja perlu diaktifkan segera bagi memastikan jentera pilihan raya dapat beroperasi dalam tempoh terdekat.

“Petanda PRU15 semakin dekat… semua jentera perlu bersiap sedia dengan tugas hakiki mereka. Kita yakin UMNO sangat berpengalaman dalam kerja-kerja PRU selepas berhadapan dengan beberapa siri pilihan raya,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerusi Parlimen Sepanggar yang sebelum ini kubu kuat UMNO dimenangi Parti Warisan menerusi Ketua Pemudanya, Datuk Azis Jamman.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top