Aktivis kebajikan terkenal, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang, menerima sumbangan sebuah bot penyelamat baharu bagi memperkukuh operasi bantuan bencana yang dijalankan oleh Pertubuhan Amal Uncle Kentang Malaysia (PAUKM).
Bot tersebut disumbangkan oleh penyedia perkhidmatan pelancongan global, Trip.com Malaysia, sebagai sokongan terhadap usaha berterusan organisasi itu membantu komuniti terjejas terutamanya ketika banjir.
Bot yang dilengkapi enjin dan treler itu dijangka meningkatkan kapasiti armada penyelamat PAUKM serta mempercepatkan tindak balas pasukan sukarelawan ketika operasi kecemasan.
Reka bentuk bot yang lebih kecil juga membolehkan pasukan penyelamat menavigasi kawasan banjir yang sempit serta air cetek, sekali gus memudahkan akses ke lokasi yang sukar dijangkau.
Majlis penyerahan bot tersebut disempurnakan oleh Uncle Kentang sendiri dengan kehadiran beberapa wakil pihak berkuasa tempatan termasuk dari Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Balai Polis Puchong serta Balai Bomba dan Penyelamat Puchong.
Pengurus Besar Trip.com Malaysia, Stephane Thong berkata pihaknya berbesar hati dapat menyokong usaha kebajikan yang dijalankan oleh PAUKM.
Menurut beliau, dedikasi sukarelawan dan pasukan responden pertama dalam organisasi itu menjadi inspirasi dalam usaha membantu mangsa bencana di seluruh negara.
Pertubuhan Amal Uncle Kentang Malaysia sebelum ini dikenali aktif membantu masyarakat melalui pelbagai inisiatif kebajikan termasuk bantuan kecemasan, khidmat ambulans percuma serta operasi menyelamat ketika banjir.
Sumbangan bot tersebut diharap dapat memperkukuh lagi keupayaan pasukan sukarelawan dalam membantu komuniti yang memerlukan pada masa hadapan.
