Universiti Cyberjaya mengumumkan pengetatan langkah-langkah keselamatan di kampus serta kediaman pelajarnya selepas insiden tragis melibatkan kematian seorang pelajar wanita baru-baru ini.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, pihak universiti melahirkan rasa dukacita atas kejadian tersebut dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta seluruh warga institusi.
“Keselamatan pelajar kami, keluarga mereka serta komuniti di sekeliling adalah keutamaan tertinggi pihak universiti. Kami kini sedang bekerjasama rapat dengan pakar keselamatan untuk memperkukuh protokol sedia ada,” menurut kenyataan itu.
Pihak universiti turut menegaskan komitmen penuh untuk membantu siasatan pihak berkuasa agar segala fakta dapat diperoleh dengan telus dan tepat. Dalam masa yang sama, pihak media dan orang ramai turut diminta agar menghormati privasi keluarga mangsa dan mengelakkan sebarang spekulasi tidak berasas.
Mangsa, Maniishapriet Kaur Akhara, 20 tahun, berasal dari Kuching, Sarawak, merupakan pelajar ijazah sarjana muda dalam bidang fisioterapi. Beliau ditemui tidak sedarkan diri di unit kondominium Mutiara Ville yang disediakan oleh universiti, selepas dilaporkan tidak dapat dihubungi oleh rakan-rakannya.
Difahamkan, mangsa tinggal bersama lima pelajar lain yang telah pulang ke kampung halaman masing-masing sejak 21 Jun sempena cuti.
Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Norhizam Bahaman mengesahkan pembukaan siasatan kes bunuh selepas menerima laporan pada pagi 24 Jun. Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat hentakan objek tumpul di kepala, dan tiada tanda-tanda serangan seksual dikenal pasti.
Universiti turut memaklumkan bahawa sebarang perkembangan lanjut akan disalurkan secara rasmi dan mereka komited menyokong kesejahteraan komuniti kampus sepanjang tempoh ini.
