Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mencipta sejarah apabila melonjak ke tangga ke-25 dalam QS World University Rankings: Asia 2026, kedudukan tertinggi universiti itu setakat ini dan menempatkannya dalam 2% teratas universiti di Asia.
Pencapaian ini mengukuhkan lagi kedudukan UTM sebagai antara universiti penyelidikan terkemuka di Malaysia serta peneraju dalam bidang akademik, penyelidikan berimpak dan kerjasama global. Edisi 2026 tersebut menilai 1,526 institusi di seluruh Asia — termasuk 48 dari Malaysia — menjadikan persaingan kali ini lebih luas dan sengit.
Naik konsisten dalam tempoh satu dekad
Dalam tempoh sepuluh tahun terakhir, UTM menunjukkan peningkatan konsisten dan berterusan. Bermula di tangga ke-61 pada 2015, UTM menembusi Top 50 pada 2018, meningkat ke Top 40 pada 2021, ke Top 30 pada 2025, dan kini Top 25 pada 2026.
Skor keseluruhan universiti juga melonjak daripada 84.8 kepada 91.2, antara peningkatan tertinggi bagi universiti penyelidikan di Malaysia. Kemajuan ini mencerminkan pelaksanaan strategik pelan pembangunan universiti seperti UTM Global Plan dan enVision UTM 2025.
Pencapaian akademik dan reputasi global
Dalam QS Asia 2026, UTM mengekalkan prestasi cemerlang dalam pelbagai indikator utama. Universiti ini berada di tangga ke-7 di Asia bagi kategori International Research Network, menonjolkan kekuatan kerjasama penyelidikan rentas sempadan.
UTM turut memperoleh skor 97.4 dalam Reputasi Akademik dan 97.8 dalam Reputasi Majikan, menandakan pengiktirafan global terhadap mutu akademik serta keyakinan berterusan industri terhadap graduannya.
Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim, melahirkan rasa syukur atas komitmen seluruh warga UTM.
“Kenaikan ke tangga ke-25 ini bukan sekadar angka, tetapi cerminan kepada kualiti pengajaran, penyelidikan dan inovasi kami. Ia hasil kerja keras pensyarah, staf dan pelajar yang berpegang kepada nilai integriti, adab serta kepercayaan bahawa teknologi harus berkhidmat kepada kemanusiaan,” katanya.
Menuju masa depan dengan UTM ASCEND 2030
Ketika meraikan kejayaan ini, UTM bersedia melangkah ke fasa baharu melalui Pelan Strategik UTM ASCEND 2030 yang bakal dilaksanakan mulai 2026. Pelan tersebut menumpukan kepada aspirasi untuk menjadi universiti global yang berpaksikan inovasi, melahirkan bakat masa depan dan memperjuangkan penyelesaian mampan untuk kemanusiaan.
Berpegang kepada moto “Kerana Tuhan untuk Manusia” dan tagline “Innovating Sustainable Solutions”, UTM kekal teguh dalam misinya untuk mencipta impak yang melangkaui sempadan serta memperkukuh reputasi Malaysia sebagai hab ilmu, inovasi dan kecemerlangan di peringkat dunia.
