Seorang wanita mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan merompak suaminya sendiri dalam satu kejadian di Pasir Gudang yang melibatkan kerugian kira-kira RM500,000.
Tertuduh, Shameem Begum Abdul Said, 53, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Turut didakwa bersama wanita itu ialah seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lumpuh separuh badan, Muhammat Rashid Ismail, 30.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa berpakat melakukan rompakan berkumpulan terhadap mangsa pada kira-kira jam 12 tengah hari, 24 Februari lalu.
Kejadian itu didakwa berlaku di kawasan tempat letak kereta di belakang Bank Islam, Pusat Perdagangan Pasir Gudang.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan, selain pertuduhan Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan kerana berkomplot melakukan jenayah.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh berdepan hukuman berat termasuk penjara serta sebatan sebagaimana diperuntukkan di bawah undang-undang.
Ketika hadir di mahkamah, Rashid dilihat berkerusi roda serta menggunakan beg air kencing, manakala Shameem Begum pula mengenakan tudung merah dan pelitup muka.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afdhallan Syafiq Azmy, manakala Rashid diwakili peguam Hafez Zalkapli. Shameem Begum pula tidak diwakili peguam.
Peguam bela memohon jaminan terhadap anak guamnya dengan mengambil kira faktor kesihatan tertuduh yang merupakan OKU.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 setiap seorang, dan menetapkan 8 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
