Seorang wanita warganegara China ditahan selepas bertindak agresif dan mencederakan seorang pegawai imigresen ketika pemeriksaan pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, malam 13 Ogos.
Kejadian kira-kira jam 7.40 malam itu berlaku apabila wanita berkenaan, bersama seorang lelaki dan dua kanak-kanak, hadir di kaunter pemeriksaan. Pegawai bertugas mendapati tiada rekod pergerakan masuk mereka ke Malaysia, lalu merujuk kes kepada penyelia untuk semakan lanjut.
Menurut Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), suspek tidak berpuas hati apabila diminta memberi laluan kepada penumpang lain sementara semakan dibuat. Dia memaki hamun pegawai dengan perkataan kesat, menarik tudung, dan menolak kepala mangsa ke arah tiang.
Pergelutan kecil berlaku dan suspek enggan bertenang walaupun diarahkan, memaksa pegawai penguat kuasa AKPS memanggil Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) untuk mengawal keadaan.
Pegawai yang cedera mengalami bengkak pada mata kiri, sakit kepala di bahagian kanan, dan lenguh badan. Mangsa dirujuk ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan dan laporan perubatan.
Polis mengesahkan suspek kini dalam tahanan dan disiasat di bawah Seksyen 186 (menghalang penjawat awam), Seksyen 332 (mencederakan penjawat awam) dan Seksyen 353 (menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam) Kanun Keseksaan.
AKPS menegaskan tiada kompromi terhadap sebarang bentuk kekerasan, penghinaan atau ancaman terhadap pegawai bertugas, dan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut undang-undang.
Sumber: Bernama, FMT
