DOHA — Jenama kecantikan halal terkemuka Asia Tenggara, Wardah di bawah ParagonCorp, mengetengahkan peranan perniagaan beretika dan kepimpinan wanita di pentas antarabangsa menerusi penyertaannya dalam Jadal Women’s Research Dialogue, sebuah dialog global wanita Muslim yang berlangsung di Doha, Qatar.
Forum antarabangsa itu dianjurkan oleh Al Mujadilah Center and Mosque for Women dan menghimpunkan ahli akademik, penyelidik serta pengamal dari pelbagai negara bagi membincangkan isu kontemporari yang membentuk kehidupan dan kepimpinan wanita Muslim di peringkat global.
Penyertaan Wardah mencerminkan komitmen jenama tersebut dalam memperkasakan kepimpinan wanita dan mempromosikan amalan perniagaan beretika sejajar dengan kepercayaan Wardah Beauty Moves You, yang melihat kecantikan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan diri, penyebaran kebaikan serta impak positif kepada masyarakat.
Tokoh Kepimpinan & Panel Antarabangsa
ParagonCorp Wardah menampilkan dua wakil utama dalam sesi dialog panel iaitu Retno Marsudi, bekas Menteri Luar Republik Indonesia bagi penggal 2014 hingga 2024, serta Dr. Sari Chairunnisa, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Penyelidikan & Pembangunan ParagonCorp.
Turut menyertai perbincangan ialah Haya Al Ghanim, pengasas Oola di Qatar; Anita Ahmed, Ketua Pegawai Eksekutif MySDGs Foundation Malaysia; serta Shariah Nelly Francis, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS.
Pengarah Eksekutif Al Mujadilah, Dr. Sohaira Siddiqui, berkata dialog Jadal diwujudkan bagi merapatkan jurang antara ruang akademik dan komuniti, sekali gus menghubungkan penyelidikan, amalan dan realiti kehidupan wanita Muslim.
Halal Sebagai Kerangka Etika Perniagaan
Sepanjang dialog, Wardah menegaskan bahawa keimanan, nilai dan kepimpinan wanita merupakan elemen penting dalam membangunkan perniagaan beretika serta komuniti yang mampan.
Dalam industri kecantikan, konsep halal dilihat sebagai kerangka etika menyeluruh yang merangkumi keseluruhan rantaian nilai perniagaan — daripada pemilihan bahan, formulasi produk, rantaian bekalan bebas kekejaman, ketelusan operasi, penggunaan teknologi canggih, sehinggalah komitmen terhadap ekonomi kitaran dan pembangunan komuniti.
“Halal bukan sekadar label, tetapi prinsip etika yang membentuk cara kami bekerja. Ia adalah amanah dan tanggungjawab sebagai manusia,” kata Dr. Sari Chairunnisa.
Kepimpinan Wanita Berteraskan Tujuan
Retno Marsudi pula menekankan bahawa kepimpinan wanita perlu berasaskan tujuan dan nilai moral yang kukuh. Menurutnya, integriti dan kompas moral amat penting dalam membuat keputusan, terutamanya ketika dunia berdepan ketidaktentuan global, bagi memastikan kepentingan awam dan golongan rentan terus dilindungi.
Selain itu, Wardah turut berkongsi dapatan kajian kualitatif mengenai wanita Muslim Indonesia yang melihat kecantikan sebagai satu perjalanan menjadi insan yang lebih baik, dicerminkan melalui semangat, berdikari, produktiviti, keberanian dan sumbangan bermakna kepada masyarakat.
Kajian tersebut mendapati generasi muda wanita Muslim semakin menilai kecantikan dan kepimpinan melalui lensa tujuan, integriti serta keseimbangan antara aspek fizikal dan spiritual, tanpa mengorbankan nilai dan keimanan.
Melalui penglibatan di Jadal Women’s Research Dialogue, Wardah menegaskan bahawa kecantikan bukan sekadar untuk dilihat, tetapi untuk dihayati melalui tujuan, tanggungjawab dan sumbangan bermakna — selari dengan semangat Wardah Beauty Moves You, kerana setiap langkah membawa makna dalam mencipta perubahan positif.
