Yayasan Peneraju (YP) meletakkan sasaran besar untuk melahirkan 200,000 bakat Bumiputera menjelang tahun 2030, dengan tumpuan utama terhadap bidang perakaunan dan teknologi, bagi merapatkan jurang kemahiran kritikal di Malaysia.
Di bawah seliaan Kementerian Ekonomi, YP merancang menyokong 5,000 sarjana perakaunan setiap tahun menjelang 2030 — langkah yang dijangka melahirkan lebih 10,000 akauntan bertauliah baharu dalam tempoh enam tahun akan datang. Dalam masa sama, pendaftaran bagi kursus teknologi disasarkan meningkat daripada 8,000 kepada 50,000 peserta setahun.
Ketua Pegawai Eksekutif YP, Ibrahim Sani, berkata pensijilan profesional dan teknologi akan kekal menjadi teras utama kepada misi agensi itu.
“Melangkah ke depan, misi kami adalah untuk terus memupuk dan mengembangkan bakat Bumiputera, tetapi dengan fokus yang lebih tajam. Pensijilan profesional dan teknologi akan kekal sebagai teras kerana di situlah keperluan serta peluang paling besar,” katanya.
Sejak ditubuhkan 13 tahun lalu, Yayasan Peneraju telah memperkasakan lebih 70,000 bakat Bumiputera melalui pelbagai biasiswa, latihan teknikal dan peningkatan kemahiran. Hasilnya, ramai alumninya kini mengetuai pelbagai sektor profesional — dari perakaunan dan teknologi, hinggalah ke bidang perubatan dan industri lain.
Antaranya termasuk Abby Ashraff Saprudin FCPA (Aust), graduan pertama program Certified Practicing Accountant (CPA) Australia di bawah YP, yang kini merupakan Timbalan Dekan di Universiti Multimedia (MMU).
“Selain sokongan kewangan, YP menyediakan laluan berstruktur dan rangkaian kukuh kepada saya. Mereka percaya kepada potensi saya ketika kelayakan antarabangsa kelihatan sukar dicapai,” katanya.
Seorang lagi alumni, Hannah Saqinah Haris, memulakan kerjaya dalam bidang kewangan sebelum beralih ke teknologi menerusi program Microsoft Cloud Solution Expert YP. Kini, beliau merupakan Pengurus Audit Teknologi Maklumat di sebuah firma multinasional.
“Ketika itu, saya tiada asas dalam sistem awan. Tetapi YP memberi keyakinan untuk saya mengambil langkah berani. Pensijilan itu mengubah laluan kerjaya saya sepenuhnya,” jelasnya.
Sebagai langkah terkini, YP melancarkan YPXLR8 (YP Accelerate) — inisiatif latihan dan penempatan bagi membantu 1,000 profesional bukan teknologi beralih ke bidang teknologi.
YP turut merancang memperkukuh komuniti alumninya melalui program Talent Bank, yang bertujuan melahirkan 10,000 pemimpin Bumiputera berimpak tinggi dalam bidang profesional, perniagaan dan komuniti menjelang 2030.
Maklumat lanjut tentang program, kelayakan dan pembiayaan boleh diperoleh di peneraju.org.
