Umum

Zahid, Najib pada mulanya tak sokong Ismail Sabri jadi calon PM

Zahid, Najib pada mulanya tak sokong Ismail Sabri jadi calon PM

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menyokong pencalonan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri (PM) semasa krisis sebelum ini selepas peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin tahun lalu.

Ahli Parlimen (MP) Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendedahkan Zahid bersama rakannya, Datuk Seri Najib Razak pada awalnya enggan menyokong Ismail Sabri sebagai calon PM bersama-sama dengan 13 MP UMNO lain tahun lalu sehingga terpaksa dipujuk.

“Jadi kita cadangkan nama Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri… kalau tahu cerita sebenar, geleng kepala. Tan Sri Muhyiddin Yassin setuju Ismail Sabri jadi PM, PAS pun bersetuju dan mereka sanggup tandatangan SD (Akuan Bersumpah) sokong jadi PM.

“UMNO berpecah, ada yang setuju dan ada yang tidak setuju… 15 orang, Zahid dan Najib pegang jangan tandatangan sampai minit akhir.

“Jangan mereka nak nafikan ya, kita nak kumpulkan semua sokongan MP UMNO tidak boleh dapat kerana 15 ini kena pegang,” katanya semasa sidang media hari ini.

Tajuddin juga mengesahkan UMNO ketika itu menghantar tiga nama kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai calon PM iaitu Zahid dan seorang lagi calon iaitu Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

“Setiap malam kita cari jalan nak pujuk, sampai akhir (baharu menyokong). Mereka tidak mahu tandatangan, Tuanku dah minta nama calon Perdana Menteri.

“Zahid bawa tiga nama, nama dia sendiri, termasuk Tengku Razaleigh,” katanya semasa sidang media hari ini.

Krisis politik tahun lalu berpunca daripada Zahid bersama 15 MP UMNO lain menarik sokongan terhadap Muhyiddin sehingga terpaksa meletak jawatan pada 16 Ogos.

Susulan kekosongan jawatan PM yang dilepaskan Muhyiddin, Istana Negara meminta semua parti politik sebelah kerajaan dan pembangkang untuk memilih calon PM masing-masing.

Nama Ismail Sabri dicalonkan Bersatu dan PAS sebagai pengganti Muhyiddin, bagaimanapun UMNO ketika itu masih belum memuktamadkan calon utama mereka.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berjaya memperoleh majoriti untuk dilantik menjadi PM menggantikan Muhyiddin.

Tajuddin baru-baru ini disingkir sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan tempatnya digantikan dengan pengikut Najib, Isham Jalil.

Zahid berkata pengguguran Tajuddin disebabkan tindak-tanduk beliau ketika mengkritik parti.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top