Spekulasi majlis pernikahan pasangan selebriti, Zizi Kirana, 36 dan Yusuf Bahrin, 29, akhirnya terjawab mereka selamat bergelar suami isteri, pagi ini.
Berita ini juga disahkan oleh pengurus Zizi, Farahrizan Abdul Razak. Bagaimanapun, Farahrizan tidak memberikan maklumat terperinci majlis akad nikah yang berlangsung hari ini, sebaliknya memaklumkan sidang media diadakan oleh pasangan mempelai secara virtual untuk memberi penjelasan, sebentar lagi.
Namun, difahamkan, Zizi sah bergelar isteri Yusuf dengan sekali lafaz, kira-kira jam 10.40 pagi.
“Ya, Zizi dan Yusuf sudah selamat bergelar suami isteri, semalam.
View this post on Instagram
“Bagaimanapun, pasangan pengantin akan mengadakan sidang media secara virtual, hari ini untuk berkongsi berita gembira ini,” katanya kepada BH Online.
Sementara itu, pengurus Yusuf, Afeeq Wahab mengesahkan berita perkahwinan itu, namun tidak mempunyai butiran lanjut mengenai majlis yang dikatakan berlangsung di sebuah masjid, ibu negara, pagi ini.
Sementara itu, menerusi akaun Instagram (IG), Zizi atau nama sebenar, Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil turut membuat siaran langsung mengenai majlis itu.
Walaupun sesi itu tidak memaparkan majlis akad nikah, namun penyanyi lagu Eh! Itu sudi berkongsi momen selepas sah bergelar isteri untuk tatapan peminat.
Menerusi video itu, pasangan mempelai mengenakan baju rona hitam dan songket bertenun warna keemasan.
Sebelum menamatkan sesi siaran langsung itu, Yusuf yang meledak menerusi drama Sweet Dreams itu mengharapkan semua pihak dapat mendoakan kebahagiaan untuk mahligai rumah tangga yang baru dibinanya.
“Alhamdulillah, saya selamat diijabkabulkan dengan Zizi. Saya harap semua peminat dapat mendoakan perkahwinan kami diberkati dan diterima Allah SWT,” ujarnya.
Zizi kelihatan cukup ceria sepanjang sesi ‘ live’ itu turut mendambakan perkara yang sama daripada pengikutnya.
“Moga dapat mendoakan yang terbaik dan maafkan segala salah silap serta kekurangan yang ada,” katanya.
Zizi dan Yusuf berkenalan ketika menjalani sesi rakaman program All Together Now Malaysia, dua bulan lalu.
Kemesraan pasangan berkenaan mencuri perhatian ketika tampil dalam IG Live, baru-baru ini apabila Yusuf secara berseloroh memanggil Zizi dengan gelaran sayang hingga tular dalam aplikasi TikTok.
Begitu juga Zizi meninggalkan komen bertulis Habibi bermaksud ‘kesayanganku’ dalam bahasa Arab, selain menulis CHK dipercayai bermaksud ‘cinta hatiku’.