Umum

10 kenderaan parkir rosak dirempuh lori

Sepuluh kenderaan yang diparkir di bahu jalan di kawasan belakang Kompleks Kerajaan Parcel E, di sini, mengalami kerosakan akibat digesel sebuah lori hari ini.

Kejadian yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) itu disahkan Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz dan tidak membabitkan kemalangan jiwa atau kecederaan.

A Asmadi tidak menolak kemungkinan kenderaan yang diparkir di bahagian kiri dan kanan jalan itu menghalang kelancaran laluan, sehingga menyebabkan kenderaan lain sukar untuk melepasi jalan berkenaan.

“Daripada rakaman CCTV, saya lihat laluan jadi sempit. Mungkin pemandu lori itu lama menunggu untuk melepasi laluan namun pemilik kereta tidak muncul.

“Maka dia (pemandu lori) cuba melepasi laluan itu dengan merempuh kereta,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pemandu lori itu berjaya dikesan polis dan pihaknya akan mengambil keterangan daripada semua pihak yang terbabit.

“Apa pun kita akan siasat dahulu untuk dapatkan maklumat punca sebenar kejadian,” katanya dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menerusi rakaman CCTV yang tular, sebuah lori berwarna putih dilihat melanggar sebuah kereta berwarna merah di bahagian kiri laluan sebelum mengundur dan melanggar sebuah kereta berwarna putih.

Lori terbabit kemudiannya kelihatan melanggar kereta berwarna putih itu sekali lagi dan meneruskan perjalanan dengan melanggar beberapa kereta lain yang turut diparkir di bahu jalan sehingga menyebabkan kerosakan pada bahagian sisi kereta.

PALING POPULAR

To Top