169,803 Lepasan SPM Dapat Tawaran IPTA, Tapi Puluhan Ribu Lagi Masih Kecewa
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan seramai 169,803 calon lepasan SPM 2025 berjaya mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) menerusi UPUOnline®.
Namun di sebalik angka itu, lebih 65,000 calon lain masih belum mendapat tempat.
Tahun ini, sebanyak 235,480 permohonan layak diterima KPT, dengan kadar tawaran keseluruhan sekitar 72.11 peratus.
Daripada jumlah yang berjaya:
- 91,357 ditawarkan ke Universiti Awam (UA)
- 60,947 ke Politeknik
- 15,844 ke Kolej Komuniti
- 1,655 ke MARA Bahagian Pendidikan Tinggi
Rayuan Dibuka Bermula Hari Ini
Bagi calon yang tidak mendapat tawaran, proses rayuan kini dibuka selama 10 hari bermula 22 Mei 2026 jam 12 tengah hari hingga 31 Mei 2026 jam 5 petang menerusi sistem UPUOnline®.
KPT turut memaklumkan laluan khas diberikan kepada beberapa kategori termasuk:
- 701 Orang Kurang Upaya (OKU)
- 310 Orang Asli
- 179 atlet
- 10,499 pelajar kategori B40
Selain itu, 65 calon daripada institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menerima tawaran pengajian.
Semua Program Kini Dibuka Kepada OKU
Dalam perkembangan sama, KPT memaklumkan buat pertama kali semua program pengajian dibuka untuk dipohon oleh calon Orang Kurang Upaya (OKU) berdasarkan kesesuaian dan kelayakan masing-masing.
Langkah itu dilihat sebagai usaha memperluas akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif dan adil.
Ramai Lega, Ramai Juga Kecewa
Seperti biasa, keputusan UPU setiap tahun bukan sahaja membawa kegembiraan kepada ribuan pelajar dan keluarga… tetapi juga kekecewaan bagi mereka yang masih belum berjaya mendapat tempat.
Persoalannya sekarang — adakah sistem sedia ada sudah cukup membantu lepasan SPM mendapatkan peluang pendidikan tinggi yang mereka perlukan?
