Buletin

45 premis makanan dikenakan tindakan dalam Ops Menu

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengambil tindakan terhadap 45 daripada 4,064 premis makanan yang diperiksa dalam Ops Menu di seluruh negara sejak 6 Nov hingga hari ini.

Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP Azman Adam berkata 45 premis berkenaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 serta Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972.

“Dalam Ops Menu ini, perkara utama kita akan periksa tanda harga yang dipamerkan, sama ada ia sama dengan di dalam menu atau tidak. Ada restoran yang pamerkan tanda harga tapi tidak sama dengan di dalam menu.

Perbezaan harga itu antara RM0.50 hingga RM0.60 sen. Ini adalah satu kelakuan yang ternyata mengelirukan pengguna. Jadi kita (KPDNHEP) sudah ambil tindakan terhadap peniaga berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan Ops Menu di sekitar Kota Warisan, di sini malam ini.

Katanya, Ops Menu yang bermula pada 6 Nov lepas itu disertai lebih 2,000 anggota penguat kuasa KPDNHEP di seluruh negara dan akan diteruskan bagi menyekat kenaikan harga makanan secara mendadak.

Berikutan pelbagai aduan diterima daripada pengguna berkaitan isu tersebut Azman berkata bahawa KPDNHEP tidak lagi memberi amaran kepada peniaga yang sengaja mengaut keuntungan secara tidak munasabah, sebaliknya mengenakan tindakan tegas di bawah AKHAP 2011 jika didapati bersalah.

Seksyen 14(1) AKHAP 2011 memperuntukkan denda sehingga RM500,000 bagi perbadanan atau syarikat dan sehingga RM100,000 bagi individu atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Orang ramai dipelawa menyalurkan aduan beserta bukti seperti resit atau gambar kepada KPDNHEP melalui pelbagai saluran yang disediakan iaitu portal e-aduan.kpdnhep, e-mel di [email protected], aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDNHEP, WhatsApp 019-279 4317 atau menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) di talian 03-8882 6088/ 6245.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top