Umum

5,047 kit ujian COVID-19 untuk 64 sekolah

Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan menerima sebanyak 5,047 kit ujian kendiri COVID-19 untuk diagihkan kepada 64 sekolah rendah dan menengah di daerah ini.

Kit ujian berkenaan dibekalkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) untuk digunakan pada sesi persekolahan bermula bulan depan.

Pegawainya, Mohd Razali Mustafar, berkata kit ujian kendiri COVID-19 yang diberikan kepada sekolah hanya akan digunakan apabila diperlukan sahaja terutama apabila terdapat murid serta pelajar yang bergejala.

Katanya, pihaknya akan menyerahkan kit ujian kendiri COVID-19 kepada semua sekolah di daerah ini dalam masa terdekat sebagai persediaan awal.

Menurutnya, pihak sekolah turut akan diajar cara menggunakan kit berkenaan dalam usaha mengesan wabak COVID-19 dalam kalangan murid serta pelajar yang bergejala.

“Kita ingin memastikan sesi persekolahan bermula bulan depan tidak terganggu dengan wabak COVID-19 yang akan menjejaskan kesihatan semua pihak walaupun dalam kalangan pelajar, guru dan kakitangan sokongan sudah menerima vaksin.

“Di daerah ini terdapat seramai 21,234 murid dan pelajar yang belajar di sekolah rendah serta sekolah menengah,” katanya, di sini, hari ini.

Razali berkata, keutamaan penggunaan kit ujian kendiri COVID-19 diberikan kepada 12 sekolah berasrama harian dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang sepanjang masa berada dalam kawasan sekolah.

PALING POPULAR

To Top