Kami telah bertanyakan kepada anda di pelbagai platform Astro AWANI.
Ini soalan yang kami lontarkan sejak 12 tengah malam tadi – Parlimen Tergantung: Jangkaan anda siapa PM ke-10?
Kami beri tiga pilihan jawapan dan ini keputusan yang diperolehi setakat jam 6 petang Isnin.
Daripada 2.7 juta responden yang mengikuti kaji selidik #suaramalaysia ini, didapati Pengerusi Perikatan Nasional yang juga bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendahului dengan undian dengan 53 peratus undi.
Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima 46 peratus undi manakala baki satu peratus undian adalah untuk tokoh lain.
Mengangkat tema “Malaysia memilih” sempena PRU15, Astro AWANI menyediakan soalan berbentuk kaji selidik buat seluruh rakyat Malaysia bermula 17 Oktober lalu.
Kaji selidik itu kami bincangkan menerusi diskusi bersama wakil politik, penganalisis, dan badan-badan bukan kerajaan.
Ia bagaimanapun tiada kena mengena dengan penularan mesej yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri baharu.
Mesej yang ditularkan itu merupakan tindakan tidak bertanggungjawab dan tiada sebarang kaitan dengan pungutan suara yang dibuat oleh Astro AWANI menerusi capaian undi.astroawani.com.
Sumber: Astro Awani