Umum

Mungkinkah semua MP sokong calon PM akan dipanggil menghadap?

Istana Negara hari ini (Selasa, 22 November 2022) akan menjadi tumpuan rakyat Malaysia apabila dua pemimpin tertinggi politik – Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) – akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menyembahkan sokongan diterima bagi menjadi Perdana Menteri Malaysia Kesepuluh.

Sama ada Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada PN atau Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH), penentuannya adalah berdasarkan sokongan majoriti Ahli Parlimen yang menang PRU-15 pada Sabtu, 19 November lalu, yang menandatangani akuan berkanun (SD) masing-masing.

Keadaan itu berlaku setelah kedua-dua parti gagal memperoleh majoriti mudah 112 kerusi untuk membentuk Kerajaan Pusat.

Kedua-dua parti dalam kenyataan media sebelum ini telah memberitahu mempunyai cukup majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Berdasarkan apa yang berlaku pada pertengahan Ogos 2021, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, telah memanggil menghadap 114 ahli Parlimen yang menandatangani SD menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri.

Mereka dipanggil bagi mengesahkan pendirian terhadap sokongan kepada Ismail Sabri yang ditandatangani dalam SD berkenaan. Ianya bermula pada sebelah pagi dan berakhir pada petang, di mana Ismail Sabri akhirnya dipersetujui menjadi Perdana Menteri kesembilan.

Dalam isu sama yang berlaku selepas PRU-15, Yang di-Pertuan Agong berkenan melanjutkan tempoh masa kepada parti politik untuk membentuk kerajaan sehingga jam 2 petang hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam kenyataan semalam berkata baginda memberi perkenan itu selepas ketua parti dan gabungan parti politik memohon Istana Negara melanjutkan tempoh masa berkenaan, yang asalnya ditetapkan berakhir jam 2 petang semalam.

Selaras lanjutan itu, parti politik memiliki tambahan sekurang-kurangnya 24 jam lagi untuk berunding bagi membentuk Kerajaan Persekutuan, sekali gus menamakan seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-10.

Dan, sebagaimana yang berlaku pada Ogos tahun lalu, ada kemungkinan ahli Parlimen yang menyokong Muhyiddin dan Anwar akan dipanggil menghadap bagi mengesahkan pendirian sebenar mereka terhadap sokongan di dalam SD itu.

Namun, apapun kita berharap masyarakat akan terus bersabar dan menyerahkannya kepada kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, membuat keputusan terbaik demi rakyat dan negara.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top