Umum

65.1 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi

KUALA LUMPUR: Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila sebanyak 65.1 peratus atau lebih 15.24 juta individu daripada populasi dewasa di seluruh negara sudah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19 setakat Rabu.

Penerima dos pertama daripada golongan dewasa pula adalah sebanyak 85.1 peratus atau lebih 19.93 juta orang, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) menerusi perkongsian infografik di Twitter.

Bagi keseluruhan populasi rakyat Malaysia pula, sebanyak 46.7 peratus sudah lengkap divaksinasi, manakala 61 peratus lagi sudah mendapatkan suntikan dos pertama

Jelas JKJAV, jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi PICK setakat semalam sebanyak 35,150,474 dos.

Labuan terus merekodkan kadar pemberian dos vaksin tertinggi dengan 94.5 peratus atau 64,701 orang daripada populasi dewasa sudah lengkap dua dos vaksin.

Ini diikuti Lembah Klang dengan 93.3 peratus (5,750,816 orang), Sarawak 87.2 peratus (1,780,249 orang), dan Negeri Sembilan 79.9 peratus (651,038 orang), Perlis 68.5 peratus (124,130 orang), Melaka 59.2 peratus (401,072 orang), manakala Pulau Pinang 57.9 peratus (792,038 orang).

Sementara itu, jumlah pemberian vaksinasi harian pada Rabu menunjukkan peningkatan berbanding Selasa iaitu daripada 261,768 dos kepada 398,134.

Ia masing-masing melibatkan membabitkan 118,780 dos pertama dan 209,354 dos kedua.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi menggerakkan negara ke arah mencapai matlamat imuniti kelompok COVID-19.

PALING POPULAR

To Top