Umum

66 menara telekomunikasi baharu di Terengganu

Sebanyak 66 menara telekomunikasi baharu dijangka akan beroperasi di Terengganu menjelang tahun hadapan di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi negeri, Dr Mamad Puteh berkata sebanyak dua syarikat telah dilantik oleh kerajaan Pusat untuk membina semua menara telekomunikasi tersebut di negeri ini.

“Sebanyak 46 unit menara dibina oleh Theta Telecoms Sdn Bhd dan baki 20 unit lagi oleh Felda FGV Prodata. Projek ini adalah usaha kerajaan Pusat melalui Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama kerajaan negeri Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Menara Telekomunikasi Projek JENDELA Fasa 1 daripada Theta Telecoms Sdn Bhd kepada Celcom Axiata Berhad di Kampung Bharu Tok Dor di sini, petang semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Theta Edge Berhad, Nuraslina Zainal Abidin dan Pengarah MCMC Terengganu Zahari Ismail.

Menurut Mamad lagi, pelaksanaan pelan JENDELA telah mula menunjukkan impak positif di negeri ini dalam meningkatkan ketersambungan digital dan liputan 4G di kawasan berpenduduk.

“Ia juga membolehkan 100 peratus isi rumah mendapat perkhidmatan internet yang lebih baik menjelang penghujung 2025.

“Sehingga suku kedua tahun ini, liputan jalur lebar mudah alih 4G sudah mencapai 96.59 peratus di kawasan berpenduduk di negeri ini dan angka berkenaan dijangka meningkat kepada 97.26 peratus menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Sementara itu menurut Nuraslina, menara telekomunikasi Kampung Bharu Tok Dor adalah projek pertama disiapkan Theta Edge di negeri ini, manakala 26 unit lagi masih dalam pembinaan.

Beliau berkata pihaknya berjaya menyiapkan menara tersebut dalam tempoh singkat iaitu kurang lima bulan berbanding jangka masa sembilan bulan yang diperuntukkan MCMC.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top