Umum

70 rumah rosak akibat ribut di Melaka

Kira-kira 70 buah rumah membabitkan dua daerah di Alor Gajah dan Melaka Tengah terjejas dalam kejadian ribut susulan hujan lebat yang melanda negeri itu, lewat petang Isnin.

Antara kawasan yang terjejas teruk masing-masing melibatkan kira-kira 30 buah rumah di Kampung Belimbing Dalam, di sini serta 44 buah rumah di kawasan sekitar Krubong, Melaka Tengah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) turut dibuka di balai raya Kampung Belimbing Dalam yang menempatkan 12 mangsa daripada tiga buah keluarga selepas kediaman mereka rosak teruk selain terputus bekalan elektrik.

Seorang mangsa Rahmat Alus, 51, berkata ketika kejadian dia bersama ibu yang berusia 81 tahun serta adik dan dua anak saudaranya sedang berehat di ruang tamu rumah sebelum secara tiba-tiba terdengar bunyi dentuman yang kuat.

“Tidak dapat digambarkan perasaan saya ketika itu sebab tak pernah kena macam ini sepanjang lebih 30 tahun tinggal di Kampung Belimbing Dalam ini.

“Apabila bumbung rumah saya ini diterbangkan ribut dan air hujan menderu masuk dalam rumah, saya hanya terfikir melaungkan azan dan ahli keluarga yang lain berpelukan selamatkan diri masing-masing,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, warga emas Yaakop Kasim,61, menceritakan detik ngeri itu berkata, ketika kejadian dia berada di luar sebelum dihubungi anak lelakinya berhubung kejadian yang menimpa rumahnya.

Katanya, dia terkejut melihat struktur rumahnya yang teruk selepas hampir separuh zink diterbangkan angin dan merosakkan barangan keperluan di dalam rumah.

“Memang la terkejut sebab kita tak sangka dengan kejadian ini dan kalau tengok keadaan bumbung dan siling ini teruk la terjejas yang mana kerugian yang kami alami dianggarkan mencecah hampir RM10,000.

“Sejak anak saya kecil yang mana hampir 30 tahun saya menetap di sini, dan ini merupakan kejadian yang pertama. Tetapi saya tetap bersyukur isteri, anak dan cucu saya selamat serta tiada kemalangan jiwa,” katanya.

Tinjauan Astro AWANI Awani di kawasan sekitar turut mendapati beberapa laluan utama turut terjejas susulan insiden pokok tumbang selain sebuah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam turut mengalami kerosakan.

PALING POPULAR

To Top