Umum

8 Pati ditahan selepas pulang beraya

Cubaan lapan pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia menyusup masuk untuk kembali bekerja di negeri ini selepas pulang bercuti hari raya di negara asal gagal apabila ditangkap pasukan keselamatan, semalam.

Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2), Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, kesemua Pati berkenaan yang menaiki sebuah bot laju di kesan mendarat di kawasan penempatan atas air di Kampung Titingan di sini, pada 4.15 petang.

Menurutnya, kesemua Pati itu kemudiannya dilihat menaiki sebuah teksi sebelum dibawa keluar dari kawasan pendaratan terbabit dan menuju ke pusat bandar.

“Susulan itu, Tim Quick Reaction Force (QRF) mengekori teksi terbabit sehingga ke Jalan Chen Fook sebelum pemandunya bertindak melarikan diri sebaik menurunkan kesemua Pati terbabit.

“Kesemua Pati terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita berusia antara 22 hingga 40 tahun bersama seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, hasil siasatan lanjut mendapati kesemua mereka memiliki pasport dan permit kerja yang sah, namun tanpa cop pengesahan kebenaran untuk masuk ke negeri Sabah.

Katanya, kesemua mereka yang berasal dari Pulau Sebatik, Indonesia itu memaklumkan tujuan masuk ke Sabah kerana mahu kembali ke tempat kerja selepas bercuti melawat keluarga sempena hari raya.

“Kesemua Pati terbabit kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

PALING POPULAR

To Top