Umum

804 pegawai dan anggota polis dihadapkan hukuman tatatertib

Seramai 804 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dikenakan hukuman tatatertib daripada Januari hingga Ogos tahun ini.

Daripada jumlah itu seramai 69 pegawai dan anggota PDRM telah dikenakan tindakan dibuang kerja.

Perkara tersebut telah diumumkan oleh Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad, sambil berkata sepanjang tempoh itu, seramai 611 pegawai dan anggota telah ditahan kerja manakala 173 telah digantung kerja.

Menurutnya, seramai 475 anggota dan pegawai diberikan amaran, 144 telah didenda, 84 dilucut hak emolumen, 16 ditangguh pergerakan gaji , 8 diturun gaji dan 8 diturun pangkat.

“Data hukuman tatatertib itu menunjukkan bahawa ketegasan dalam mengambil tindakan terhadap salah laku warga PDRM bukanlah ‘retorik’ semata-mata,” jelasnya.

Azri berkata, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain telah mengeluarkan arahan KPN No.191 iaitu ‘total enforcement’ berkaitan Peraturan 3C Peraturan – Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan &Tatatertib)1993, pada 26 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, arahan KPN itu juga adalah peringatan serius kepada pegawai polis bahawa kegagalan mereka menjalankan tanggungjawab penyeliaan terhadap anggota bawahan mereka boleh diambil tindakan mengikut peraturan tatatertib yang berkuatkuasa

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain yang memberi amaran keras terhadap pegawai bawahannya supaya berhenti bersekongkol dengan sindiket jenayah.

Beliau turut berkata, kesalahan pelanggaran undang-undang oleh warga PDRM akan disiasat malahan akan dituduh mengikut peruntukan akta berkenaan.

“JIPS akan menjalankan siasatan tatatertib selari yang boleh berakhir dengan hukuman buang kerja atau turun pangkat dan sebagainya bergantung kepada ‘severity of the cases’,” katanya.

 

PALING POPULAR

To Top