Buletin

94.7 peratus populasi Malaysia lengkap divaksin

Seramai 23.906 juta individu atau 73.2 peratus daripada populasi keseluruhan Malaysia telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 setakat 11.59 malam tadi (25 Okt).

Berdasarkan portal covidnow.moh.gov.my, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, 77.7 peratus atau 25.388 juta daripada populasi keseluruhan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi populasi dewasa, seramai 22.166 juta individu atau 94.7 peratus telah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19 setakat ini.

Pada masa sama, 97.5 peratus atau 22.822 juta populasi dewasa telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos.

Lembah Klang mencatat jumlah tertinggi diberikan dos kepada golongan dewasa iaitu 114.8 peratus diikuti Labuan (101.3 peratus), Negeri Sembilan (100.9 peratus), Pulau Pinang (98.1 peratus), Perlis (96.5 peratus), Johor (96.0 peratus), Melaka (91.7 peratus), Sarawak (90.9 peratus) dan Terengganu (90.9).

Ini diikuti Kedah (85.9 peratus), Perak (85.5 peratus) dan Pahang (84.4 peratus).

Paling rendah adalah Sabah (72.4 peratus) dan Kelantan (77.8 peratus).

Selain itu, seramai 1.739 juta atau 55.3 peratus daripada populasi remaja telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin.

Terdapat pertambahan 184,162 dos diberikan semalam membabitkan kedua-dua populasi tersebut.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah 49.253 juta dos.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan suntikan vaksin kepada rakyat Malaysia untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.

PALING POPULAR

To Top