Umum

Proses pengiraan undi bermula setelah pusat pengundian ditutup

Kesemua 61 Pusat Mengundi melibatkan 362 saluran ditutup secara rasmi pada pukul 6 petang tadi, menandakan berakhirnya tempoh pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram telah menyaksikan 205,810 pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka hari ini bagi kedua-dua kerusi tersebut.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 165,509 pengundi berdaftar terlibat di Parlimen Pulai, manakala seramai 40,301 pengundi terlibat di DUN Simpang Jeram.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memaklumkan melalui hantaran di media sosial setakat pukul 4 petang tadi, peratus keluar mengundi bagi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, masing-masing 42 dan 56 peratus.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram ini dijalankan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai 2023.

PRK Pulai dan Simpang Jeram menyaksikan saingan tiga penjuru melibatkan pertembungan antara calon Pakatan Harapan (PH) dengan Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas.

PRK Parlimen Pulai memyaksikan pertembungan antara calon PH Suhaizan Kaiat, calon PN Zulkifli Jaafar dan calon bebas Samsudin Mohamad Fauzi Pulai manakala bagi DUN Simpang Jeram pula, calon-calon yang bertanding adalah Nazri Abdul Rahman (PH), Dr Mohd Mazri Yahya (PN) dan S Jeganathan (Bebas).

Pengundian awal yang dijalankan pada 5 September 2023 telah melibatkan seramai 927 pengundi yang terdiri daripada pegawai dan anggota polis.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top