CelcomDigi Berhad (“CelcomDigi”) telah memperkenalkan logo korporat baharunya pada hari Khamis.
Menurut kenyataan pada hari sama, ia merupakan sebuah manifestasi terhadap aspirasi syarikat untuk menjadi rakan kongsi yang dipercayai oleh pelanggan serta rakyat Malaysia dalam inovasi serta pendigitalan.
“Pengenalan logo baharu ini merupakan langkah signifikan dalam misi syarikat selepas penggabungan, untuk mencari cara yang inovatif bagi memajukan rakyat Malaysia dalam mencapai semua yang mereka impikan dan ilhamkan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, “Sejak termeterainya penggabungan kami pada Disember 2022, kami telah memperkenalkan pelbagai perkhidmatan, penyelesaian, dan inovasi baharu secara progresif.”
“Pembaharuan ini didorong oleh semangat jenama kami iaitu ‘Mencipta dunia yang diinspirasikan oleh anda’, dengan menerapkan tiga prinsip asas, iaitu dinamisme, mengutamakan pelanggan dan kecemerlangan,” jelasnya
Idham turut menyatakan hasratmya untuk mengangkat CelcomDigi sebagai ikon inovasi baharu negara, yang mempunyai skala serta sumber untuk menjadi penggerak kepada pertumbuhan digital negara, mengembangkan bakat tempatan, membangunkan ekosistem digital tempatan, dan menyediakan penyelesaian, tawaran, serta pengalaman terbaik buat pelanggan.
Pada April 2023, syarikat ini melancarkan program berskala penuh untuk membina rangkaian digital masa depan Malaysia dengan mengintegrasi dan memodenkan rangkaian 4G terbesar dan terpantas di Malaysia menerusi teknologi LTE dan sedia-5G yang terkini.
Bukan itu sahaja, syarikat ini juga memperkenalkan tawaran segmen baharu untuk perkhidmatan rumah dan fiber, serta peranti di bawah CelcomDigi Fibre dengan gentian satu gigabait sesaat (Gbps) yang pertama di Malaysia di setiap bilik, dan untuk segmen perniagaan melalui CelcomDigi Business.
Terbaru, CelcomDigi, melalui Pusat Inovasinya telah bekerjasama dengan DHL untuk melancarkan gudang autonomi kecerdasan buatan (AI) dikuasakan 5G yang pertama di negara ini.
Di samping itu, syarikat ini juga menjalin usahasama dengan Yinson Holdings untuk pembangunan perkhidmatan dan infrastruktur kenderaan elektrik (EV) yang inovatif buat pengguna Malaysia.
Selain itu, CelcomDigi juga telah menandatangani perkongsian strategik bersama SK Telecom dan VIRNECT dalam bidang yang memacu inovasi dengan pengaplikasian 5G, AI dan Metaverse.
“Kami amat teruja untuk terus mengorak langkah ke hadapan, dan pelanggan boleh menjangkakan lebih banyak lagi tawaran akan datang daripada CelcomDigi,” tambah Datuk Idham.
CelcomDigi komited untuk menjadi penyedia digital buat rakyat Malaysia dengan menawarkan produk yang komprehensif, inovasi dan penyelesaian Internet Pelbagai Benda (IoT), melangkaui perkhidmatan telekomunikasi untuk menghubungkan masyarakat di mana sahaja serta meningkatkan gaya hidup digital rakyat Malaysia.