Syarikat penerbangan Firefly, anak syarikat kepada MAG mengumumkan penerbangan sulungnya dari hab operasi pesawat jet di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN), ke Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang (DMK) di Bangkok hari Sabtu.
Ketua Pegawai Eksekutif MAG Ahmad Luqman Mohd Azmi menyatakan pengembangan strategik itu menandakan komitmen Firefly untuk mengukuhkan jejaknya di seluruh rantau ASEAN.
Dalam kenyataan yang sama, Ahmad Luqman berkata sambungan terus dari PEN menunjukkan dedikasi Firelfy memacu pertumbuhan di hab utara dan ini akan meningkatkan kebolehcapaian serantau untuk pengembara domestik di samping membuka pintu kepada pelawat antarabangsa, meningkatkan sektor pelancongan, serta perjalanan perniagaan dan pelaburan asing.
“Kami teruja dengan prospek memupuk peningkatan kesalinghubungan dan menyumbang secara signifikan kepada pelancongan,” katanya.
Laluan baharu itu akan beroperasi lima kali seminggu, menggunakan pesawat Boeing 737-800 milik syarikat berkenaan.