Umum

Tidak sedar ada masalah sebelum ini, Ella kini gunakan alat bantuan pendegaran

Gambar FB GHCC

Ratu rock negara Ella kini menggunakan alat bantuan pendengaran disebabkan tahap pendengaran kedua-dua belah telinganya sudah menurun.

Ella atau Nor Zila Aminuddin, 57, berkongsi bahawa hasil pemeriksaan mendapati tahap pendengaran telinga kirinya sudah berkurang kepada 70 peratus manakala sebelah kanan hanya tinggal 80 peratus.

Menurutnya, dia tidak pernah menyedari masalah pendengaran yang dialaminya, bagaimanapun menerusi Global Hearing Care Centre Malaysia (GHCC), pendengarannya itu telah kembali ke tahap normal menggunakan alat bantu dengar Bernafon Alpha.

Ella membuat perkongsian itu ketika menghadiri Program Komuniti GHCC di Pavillion Bukit Jalil pada hari Sabtu.

Walaupun tahap pendengarannya sudah mula menurun, Ella tetap bersyukur kerana dia dapat mengatasi masalah itu dengan bantuan alat berteknologi tinggi.

Tidak berasa penggunaan alat itu sebagai satu kekurangan sebab ia lagi membantunya, Ella percaya ramai ada masalah sama.

Ella juga menggalakkan rakan-rakan sekerjanya dalam industri muzik untuk memeriksa kesihatan pendengaran mereka.

“Saya mengalami masalah pendengaran disebabkan muzik, jadi saya pakai alat ini untuk melindungi daripada ia bertambah teruk.

“Jadi saya sarankan rakan-rakan dalam industri muzik malah orang ramai untuk membuat pemeriksaan sebelum terlambat,” ujarnya.

Ella bekerjasama dengan GHCC dan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menganjurkan program komuniti yang memberi tumpuan kepada kesihatan pendengaran dan pertuturan untuk pelbagai peringkat umur.

PALING POPULAR

To Top