Umum

Culas bayar sewa, DBKL teruskan operasi kunci air di PA dan PPR

Gambar DBKL

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meneruskan operasi kunci air terhadap penduduk Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang culas membawa sewa.

Dalam satu kenyataan di Facebook, DBKL menyatakan operasi kunci air yang telah dilaksanakan di PPR Perkasa dan PPR Sri Alam kini diteruskan ke PPR Muhibbah dan PPR Batu Muda.

“Sebelum tindakan ini diambil, pihak DBKL telah melakukan pelbagai cara bagi mengingatkan para penyewa untuk membayar tunggakan sewa yang ada.

“Notis peringatan sudah dikeluarkan, pertemuan bersemuka sudah dibuat bagi para menyewa berbincang dan melakukan penstrukturan pembayaran, malah pihak DBKL juga telah membuka kaunter bergerak bagi memudahkan urusan dalam membayar tunggakan sewa,” katanya.

Menurutnya, penyewa yang dikenakan tindakan dikehendaki menjelaskan tunggakan sewa bagi membuka kunci air tersebut.

DBKL turut mengingatkan penyewa yang masih mempunyai tunggakan diminta menjelaskan pembayaran sebelum tindakan sama diambil.

“Masih ada masa untuk menjelaskan tunggakan tersebut atau berjumpa dengan pihak DBKL untuk berbincang mengenai kaedah terbaik dalam menyelesaikan tunggakan tersebut.

“Operasi ini akan diteruskan di kawasan PA/PPR yang lain dari semasa ke semasa. Ingat, bayar sewa, jelas tunggakan, elak tindakan,” ujar kenyataan itu.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top