Umum

NCIA bersama kerajaan Kedah realisasikan pelaburan sebanyak RM7.7 billion

Gambar FB UPDA

Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bersama kerajaan negeri Kedah telah merealisasikan pelaburan sebanyak RM7.7 bilion dalam tempoh sembilan bulan pada tahun ini.

Menurut NCIA, pelaburan itu diterajui oleh sektor pembuatan, diikuti pelancongan, logistik, pertanian, dan ekonomi digital.

Menurut laporan FMT, perkara itu telah diumumkan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri (JPN) Kedah, yang dipengerusikan Menteri Besar Sanusi Nor yang diadakan di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Selepas mesyuarat yang membincangkan perancangan penting dalam pelaburan dan pembangunan serta kemajuan projek di Kedah, Sanusi turut memberikan ucapan penghargaan kepada NCIA atas dedikasi memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di Kedah.

“Komitmen mereka untuk memajukan inovasi, memupuk bakat tempatan dan mempromosikan pelaburan mampan dalam keusahawanan adalah penting dalam membantu Kedah menjadi sebuah negeri maju pada masa depan,” kata Sanusi menurut Bernama.

Beliau berkata, pembangunan modal insan adalah bahagian penting dalam strategi NCIA bagi memacu pembangunan sosioekonomi dan meningkatkan ekosistem di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), khususnya untuk rakyat Kedah menerusi program Dana Usahawan (DU@NCER) dan Program Peningkatan Bakat NCER (NTEP).

Sanusi turut menyempurnakan Majlis Penyampaian Surat Pemberian (LoG) kepada syarikat di bawah inisiatif DU@NCER dan NTEP selepas mesyuarat tersebut.

Syarikat yang menerima LoG untuk DU@NCER ialah Langkawi Skywalk Sdn Bhd, yang akan membangunkan “The World’s Longest Free-standing Cantilever Glass Skywalk”, yang dijangka sepanjang 38m dengan ketinggian 645m dari aras laut.

Dua penerima LoG yang lain ialah pengendali resort Hangouts Urban + Eco Langkawi iaitu SMS Retreat Company Sdn Bhd, yang bercadang menambah kapasiti tawaran bilik segmen keluarga, dan Chenang Prima Resort Sdn Bhd yang akan mengembangkan jenama Royale melalui perkongsian pintar dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

PFCE Integrated Plant and Project Sdn Bhd (PFCE), pemaju projek pembangunan pelancongan bersepadu baharu di Bandar Kuah, Langkawi dianugerahkan LoG untuk program NTEP.

Sementara itu Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan, berkata sejak 2019 program pembangunan modal insan NCIA telah membantu lebih 19,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Kedah dan seterunya menghasilkan lebih 2,300 pekerjaan baharu.

Tumpuan juga diberikan untuk meningkatkan ekosistem NCER dengan menyediakan Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) kepada 6,248 peserta, katanya.

 

 

Sumber FMT

PALING POPULAR

To Top