Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah menyatakan kerajaan negeri Kedah akan menganjurkan program Tahun Melawat Kedah 2025 bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri itu.
Menurut beliau, bajet untuk mempromosikan program pelancongan itu juga sudah dibincangkan dan akan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2024 negeri hujung bulan ini.
“Ada banyak program sempena Tahun Melawat Kedah 2025 dan promosi juga kita akan giatkan. Saya harap program ini akan mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya terutama dari sudut promosi,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman hari Rabu.
Sementara itu, beliau turut berkata sempena cuti Deepavali yang lepas ramai pelancong telah masuk ke Langkawi sekali gus menafikan dakwaan bahawa pulau pelancongan itu ‘kesunyian’.
“Ada kapal persiaran besar bawa 10,000 hingga 20,000 orang. Semua destinasi pelancongan ada musim puncaknya, ada waktu ada orang, ada waktu tak ada orang…ada jadual dalam sektor pelancongan,” ujarnya.
Kebelakangan ini, tular di media sosial keadaan di Pulau Langkawi yang dibanjiri pengunjung pada musim cuti sambutan Deepavali tempoh hari.
Terdapat pelbagai hantaran yang dibuat di media sosial termasuk tiket feri yang habis jual serta keadaan kesesakan di kawasan tumpuan pelancongan.
Sebelum musim cuti Deepavali, media telah melaporkan industri yang berkaitan dengan pelancongan seperti penginapan, kereta sewa dan kedai makan di Pulau Langkawi dibimbangi semakin tenat ekoran susutan jumlah pelancong dan pengunjung ke pulau peranginan itu.