Umum

Rangka manusia ditemui, Polis berkata tiada unsur jenayah

Gambar Hiasan

Rangka manusia telah ditemui di kawasan belukar di bawah jambatan Jalan Persiaran Putra, Putra Heights, dekat Subang, pada Jumaat lepas.

Perkara tersebut telah disahkan oleh pihak Polis, yang turut mengesahkan bahawa tidak ada sebarang unsur jenayah yang berkaitan.

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat, siasatan polis bersama pakar patologi Hospital Serdang hari ini mendapati rangka berkenaan tiada kecederaan lain.

Katanya, hasil laporan patologi mendapati terdapat empat kesan patah pada rangka manusia berkenaan iaitu pada tulang tangan kanan, lengan tangan kanan, tulang rusuk bahagian kanan dan tulang pinggul bahagian kanan.

“Kesan patah pada tulang-tulang berkenaan adalah selari dengan tempat kejadian berdasarkan pada anggaran ketinggian dan juga tempat mangsa itu jatuh,” jelas beliau.

Sehubungan itu, ahli keluarga mangsa telah tampil berjumpa pegawai penyiasat setelah mendapat tahu berita penemuan rangka manusia itu dilaporkan oleh media.

Jumaat lepas, polis menerima laporan penemuan rangka dipercayai lelaki warga Indonesia iaitu pekerja yang menjalankan kerja-kerja penyelengaraan sistem LRT di substesen Putra Height pada 12.15 tengah hari itu.

Rangka manusia itu dikenali sebagai Riki Mandaguna, berusia 40 tahun dan beralamat di Kota Samarinda, Kisaran, Indonesia dan mangsa berkemungkinan meninggal dunia di antara tiga hingga enam minggu lepas.

PALING POPULAR

To Top