Seramai 28 individu termasuk 16 wanita warga asing yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah ditahan ketika serbuan ke atas sebuah parti liar dalam rumah tamu di Bentong pada hari Selasa.
Antara individu ditahan termasuk 12 lelaki warga tempatan yag kesemuanya bekerja sebagai pekebun durian dan 16 wanita warga Thailand dsn Laos berusia antara 19 hingga 44 tahun.
Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong yang melakukan serbuan ke premis tersebut telah bertindak atas maklumat.
“Semua suspek berada dalam keadaan mencurigakan ketika serbuan dilakukan pada jam 12.05 tengah malam.
“Pemeriksaan fizikal terhadap kesemua suspek di lokasi tidak menjumpai sebarang barang salah.
“Suspek kemudiannya dibawa ke pejabat BSJND Bentong untuk menjalani saringan air kencing dan hasil ujian dijalankan mendapati kesemua mereka positif dadah jenis amphetamine dan ketamin,” kata beliau ketika ditemui pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang pada hari Rabu.
Yahaya berkata, hasil soal siasat, semua suspek mengaku mengambil dadah berkenaan di rumah itu pada malam kejadian.
Tambah beliau, semua suspek ditahan dan direman selama empat hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Yahaya turut menasihati pemilik rumah tamu agar lebih berhati-hati ketika menerima tetamu bagi mengelak premis mereka disalahgunakan untuk aktiviti tidak sihat dan jenayah.