Umum

Perodua Bezza dikejar 28 kereta pronda polis dari Petaling Jaya ke Cyberjaya

Gambar dari Video Tular

Sebuah kereta jenis Perodua Bezza dikejar 28 kereta peronda Polis dari Petaling Jaya hingga ke Cyberjaya.

Pemandu Perodua Bezza yang dikejar polis itu dikatakan mempunyai 11 rekod kesalahan lampau.

Menurut Ketua Polis Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid kejadian pada 1.42 pagi Selasa terjadi apabila kereta yang dipandu suspek melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Jalan Utara, Petaling Jaya.

Suspek kemudiannya bertindak memasuki Lebuh Raya Persekutuan menuju Shah Alam, tetapi merempuh anggota unit rondaan bermotosikal yang cuba menahannya di Jalan PJS 6/1 Sungei Way.

“Susulan itu, hebahan bantuan dibuat dan beberapa kereta peronda IPD Sepang, Serdang, dan Subang Jaya mengejar suspek dengan jarak 50km melalui Lebuh Raya Damansara-Puchong.

“Kenderaan suspek berjaya ditahan di Bulatan Taman Tasik Cyberjaya, Sepang,” katanya menurut Harian Metro.

Terdahulu, tular di media sosial video menunjukkan sebuah Perodua Bezza dikejar beberapa kereta peronda polis.

Fakhrudin berkata hasil pemeriksaan ke atas kereta itu menemui sebilah pisau, gunting, set sarung tangan, topi keledar, kad pengenalan milik individu lain serta kad debit.

Seorang suspek lelaki dan wanita tempatan direman empat hari untuk disiasat mengikut Seksyen 186, 279, dan 353 Kanun Keseksaan; serta Seksyen 28(1) Akta Kesalahan Kecil.

Kes dirujuk ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik untuk disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan.

PALING POPULAR

To Top