Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Datuk Seri Amir Hamzah Azizan telah selesai mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara hari Selasa.
Beliau mengangkat sumpah sebagai senator dihadapan Speaker Dewan Negara Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menguatkan lagi spekulasi namanya tersenarai dalam rombakan Kabinet bakal diumumkan Perdana Menteri.
Terdahulu, media melaporkan Amir bakal dilantik sebagai menteri kewangan kedua dalam rombakan hari ini.
Jawatan itu dipercayai diwujudkan semula untuk membantu meringankan beban Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang turut memegang portfolio kewangan.
Amir Hamzah menjadi ketua pegawai eksekutif KWSP sejak Mac 2021 menggantikan Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias.
Sebelum mengetuai agensi tersebut, beliau menjadi ketua pegawai eksekutif kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), MISC Bhd dan Petronas Dagangan Bhd.