Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan mengadakan siasatan terhadap Ketua Setiausaha Negara Zuki Ali seperti didakwa di media sosial.
Ia palsu, tiada perkara seperti itu,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dilaporkan FMT.
Media melaporkan terdapat hantaran di media sosial mendakwa sumber dari pejabat Zuki mengesahkan beliau disiasat melibatkan pelbagai isu.
Dalam hantaran itu juga, pengguna itu menyenaraikan beberapa dakwaan tidak wajar dilakukan Zuki sehingga membawa kepada penyiasatan.
Zuki juga dituduh disiasat SPRM berkaitan beberapa kes berprofil tinggi, selain didakwa memiliki beberapa rumah dan kereta mewah, termasuk memiliki banyak hartanah.
Terdahulu, media melaporkan bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin dan keluarganya sedang disiasat berkaitan pengubahan wang dan salah guna kuasa.
Sementara itu, pada minggu lalu, SPRM mengesahkan pihaknya merakam keterangan bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob, berhubung siasatan dana RM700 juta diperuntukkan bagi tujuan publisiti dan promosi ketika pentadbirannya.