Umum

5 lelaki ditahan kes gaduh depan restoran

Gambar Facebook

Polis menahan 5 suspek lelaki tempatan dalam serbuan 4 lokasi berasingan berkaitan pergaduhan di depan sebuah restoran di Bandar Baru Permas Jaya.

Perkara tersebut disahkan Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, yang berkata polis menerima laporan petang kelmarin.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis menahan lima lelaki berusia 17 hingga 43 tahun. Turut dirampas, 2 batang kayu rotan dan 2 telefon bimbit.

“Siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan perselisihan faham antara semua suspek sehingga menyebabkan pergaduhan,” katanya dalam kenyataan.

Semakan rekod lampau mendapati salah seorang suspek mempunyai tiga kes jenayah dan dadah.

Bagaimanapun katanya, ujian saringan air kencing mendapati semua suspek negatif dadah.

“Semua suspek direman sehari dan kes disiasat bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Terdahulu, telah tular video berdurasi 39 saat di media sosial menunjukkan sekumpulan lelaki bergaduh menggunakan alat dipercayai kayu rotan di depan sebuah restoran.

PALING POPULAR

To Top