Sebuah kereta jenis Toyota Vios terbabas melanggar pagar Istana Besar di Johor Bahru pada Ahad.
Menurut Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat kejadian kira-kira pukul 3 petang itu berlaku akibat permukaan jalan raya yang licin.
Menurut laporan media, lelaki yang berusia 25 tahun itu memandu kereta tersebut berseorangan.
Keretanya terbabas sendiri tanpa membabitkan kenderaan lain dan dia tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan juga mendapati pemandu tidak berada dalam keadaan mabuk dan saringan ujian air kencing yang dibuat ke atas lelaki itu juga negatif dadah,” katanya dilaporkan FMT.
Beliau berkata pemandu tersebut dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, tular beberapa keping gambar dan satu video berdurasi tiga saat memaparkan sebuah kereta merempuh pagar istana sehingga mengakibatkan pagar tersebut mengalami kerosakan.