Umum

Kemalangan maut bas rombongan guru, KPM dapatkan laporan penuh

Gambar Facebook

Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mendapatkan laporan penuh berhubung kemalangan maut membabitkan guru di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau di sini, awal pagi tadi

Menurut menterinya, Fadhlina Sidek, “KPM sedang mengambil semua langkah untuk mendapatkan laporan penuh dan punca kejadian, juga kebajikan guru-guru sebahagiannya berada di hospital (sekarang ini) untuk rawatan dan keluarga mereka.

“Saya mewakili KPM mengucapkan takziah kepada keluarga guru yang terlibat dalam kejadian itu dan kami rasa sangat dukacita dengan kejadian tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keluarga Kelab Media Mutiara Pulau Pinang di sebuah taman tema air di Bertam.

Dalam kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran membawa guru dari Sekolah Kebangsaan Jeram Masjid Tanah, Melaka dengan sebuah treler tersebut, didapati 3 maut, manakala 36 lagi cedera.

Sehubungan itu, KPM juga akan menghantar kaunselor ke sekolah itu untuk memberikan sokongan psikososial kepada rakan-rakan guru dan para pelajar.

Terdahulu, Fadhlina turut menyampaikan ucapan takziahnya menerusi Facebook kepada keluarga guru Allahyarhamah Hasnatul Adila Hasan dan pemandu bas yang meninggal dunia dalam nahas tersebut.

“Didoakan juga agar semua guru yang cedera akan segera sembuh dan kembali aktif seperti biasa untuk menjalankan amanah sebagai pendidik bangsa. Beberapa orang guru yang terlibat dalam nahas ini juga dilaporkan menerima rawatan rapi akibat kecederaan parah,” katanya.

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top