Umum

RM6.98 bilion telah dikeluarkan ke Akaun 3 KWSP melibatkan 2.93 juta pencarum

Sebanyak RM6.98 bilion telah dikeluarkan melalui Akaun Fleksibel (Akaun 3) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melibatkan seramai 2.93 juta pencarum bawah umur 55 tahun.

Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis Parlimen, berkata 3.45 juta atau 26.6% ahli pula telah membuat pilihan memindahkan amaun permulaan ke dalam Akaun Fleksibel dengan jumlah RM10.86 bilion, manakala RM4.82 bilion lagi dipindahkan ke Akaun Persaraan (Akaun 1) setakat 10 Jun.

“Tujuan utama penstrukturan semula akaun KWSP adalah untuk memastikan kesejahteraan kewangan semasa persaraan yang lebih mampan dan pada masa sama mengimbangi keperluan semasa ahli,” menurut kementerian itu.

Kementerian Kewangan menjawab pertanyaan Puzi Ali (BN-Pekan) bertanyakan statistik semasa pengeluaran wang pencarum daripada Akaun Fleksibel dan kesan jangka panjang terhadap kestabilan simpanan persaraan.

Bermula 11 Mei, kadar nisbah pengkreditan caruman ahli adalah sebanyak 75:15:10 iaitu 75% dikreditkan dalam Akaun Persaraan, 15% Akaun Sejahtera , dan baki 10% dalam Akaun Fleksibel.

Kadar nisbah caruman dalam Akaun Persaraan dinaikkan 5%, berbanding nisbah 70% sebelum ini.

“Inisiatif ini bukan sekadar tindak balas kerajaan terhadap keperluan semasa, tetapi langkah proaktif untuk membantu rakyat menghadapi perubahan landskap pekerjaan dan demografi penduduk serta keperluan kitaran hayat ahli KWSP.

“Dengan inisiatif ini, kerajaan berusaha untuk memastikan setiap ahli KWSP dapat menguruskan kewangan mereka dengan yakin dan berdaya tahan dalam persekitaran dinamik serta mencabar pada masa kini,” katanya

 

 

PALING POPULAR

To Top