Umum

PNB, KWSP, KWAP meterai perjanjian dengan Osram bernilai RM2 bilion

Gambar Facebook

Permodalan Nasional Bhd (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) memeterai perjanjian transaksi jualan dan pajakan balik bernilai RM2 bilion dengan Osram Opto Semiconductors Sdn Bhd bagi kemudahan pembuatannya di Kulim Hi-tech Park, Kedah.

Osram Opto Semiconductors adalah anak syarikat tempatan milik penuh ams Osram AG, peneraju bagi penderia dan pemancar pintar yang beribu pejabat di Austria.

Dalam kenyataan bersama hari ini, ketiga-tiga pelabur itu berkata transaksi jualan dan pajakan balik berkenaan dijangka selesai pada Disember 2023 dengan masing-masing memiliki 33.3 peratus secara sama rata.

Menurutnya transaksi itu menawarkan peluang tersendiri kepada PNB, KWSP dan KWAP untuk melabur dalam aset hartanah berkualiti tinggi dan spesifikasi tinggi di Malaysia yang memberi pulangan kompetitif, dan merupakan pelaburan tempoh 10 tahun dengan strategi keluar yang jelas.

Ketiga-tiga pihak menjelaskan, kemudahan berkenaan akan merangsang pembangunan ekosistem untuk menyokong aktiviti dengan nilai tambah tinggi seperti fabrikasi semikonduktor.

“Ini menyokong visi Malaysia untuk muncul sebagai hab pembuatan berteknologi tinggi terkemuka yang akan memberikan nafas baharu kepada jenama ‘Buatan Malaysia.’

“Produk yang dihasilkan di ams Osram akan membantu matlamat negara untuk meluaskan eksport pembuatan berteknologi tinggi dan meraih kemunculan di peringkat global, sekaligus mengukuhkan peluang bagi pekerjaan tambahan di negara ini dalam bidang sains dan semikonduktor berteknologi tinggi,” katanya.

PALING POPULAR

To Top