Umum

Mahkamah tolak permohonan injunksi hentikan PRK DUN Neggiri

Gambar Hiasan

Mahkamah Tinggi menolak permohonan bekas ADUN Nenggiri, Azizi Abu Naim mendapatkan injunksi sementara untuk menghentikan PRK bagi kerusi DUN itu.

Menurut Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain, mahkamah tidak boleh menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan PRK kerana ia menjalankan tugas berperlembagaannya.

Katanya, tiada “kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki” jika injunksi sementara itu ditolak kerana Azizi masih boleh bertanding dalam PRK itu.

Azizi memfailkan permohonan awal minggu ini untuk mencabar tindakan Bersatu menghentikan keahliannya dan kekosongan kerusi DUN Nenggiri.

Bersatu berkata, keahlian Azizi dihentikan selepas beliau gagal mengisytiharkan kesetiaannya kepada parti itu dan sokongan berterusannya kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang antara 6 Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Anwar tahun lalu.

Azizi dalam permohonannya berhujah pindaan Perkara 10 perlembagaan Bersatu yang menetapkan keahlian seseorang akan dihentikan jika dia menyokong saingan politik, adalah tidak berperlembagaan.

Beliau mahu mahkamah membatalkan pindaan itu atas alasan ia melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Azizi juga mahu mahkamah mengisytiharkan notis dikeluarkan DUN Kelantan menasihatkan SPR mengenai kekosongan itu sebagai terbatal dan tidak sah kerana beliau tidak diberikan hak untuk mempertahankan diri sebelum kerusi Nenggiri dikosongkan.

Beliau menamakan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Hamzah Zainudin, Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah dan SPR sebagai defendan.

Peguam Rajan Navaratnam mewakili Azizi, manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly mewakili SPR

 

Sumber FMT

PALING POPULAR

To Top