Umum

Siasatan insiden cubaan membunuh, polis jumpa 6 kelongsong peluru

Gambar Facebook

Seorang lelaki berusia 45 tahun cedera di punggung sebelah kiri dalam kejadian tembakan di sebuah restoran di Lebuh Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi, di Klang.

Menurut Ketua Polis Klang Selatan Cha Hoong Fong, mangsa dipercayai ditembak seorang lelaki menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna putih berdekatan restoran berkenaan, pada jam 2.15 pagi, Jumaat lalu.

Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku apabila MPV berkenaan berhenti berdekatan restoran sebelum lelaki tersebut turun dari kenderaan lalu melepaskan beberapa das tembakan ke arah individu yang duduk di luar restoran.

Suspek kemudian melarikan diri menggunakan kenderaan yang sama, katanya dalam kenyataan.

Cha berkata, mangsa kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan berada dalam keadaan stabil.

Katanya, siasatan di tempat kejadian bersama Unit Forensik IPK Selangor menjumpai enam kelongsong peluru, satu anak peluru selain terdapat kesan tembakan pada kerusi dan dinding restoran.

Polis kini giat memburu suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung insiden itu diminta hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 untuk membantu siasatan.

 

 

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top